BOT nelayan Indonesia dikesan memasuki perairan Malaysia di sekitar perairan Pulau Jarak. FOTO ihsan Maritim Malaysia
BOT nelayan Indonesia dikesan memasuki perairan Malaysia di sekitar perairan Pulau Jarak. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lumut: Seramai 34 warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas tiga bot nelayan asing dikesan memasuki perairan Malaysia sekitar 13 batu nautika perairan Pulau Jarak kira-kira jam 6.20 petang, Selasa lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, kesemua bot itu ditahan selepas dikesan memasuki perairan Malaysia ketika Kapal Maritim (KM) NYALAU sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan itu.

Beliau berkata, pemeriksaan pasukan operasi mendapati satu daripada bot berkenaan adalah pukat jerut dari Indonesia yang bertanda nama KM TUAH LAUT dikendalikan 27 kru termasuk tekong berusia antara 16 hingga 62 tahun.

Katanya, kesemua yang ditahan berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak memiliki pas sah dengan serta disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan.

Menurutnya, pemeriksaan pada bot kedua mendapati ia sebuah bot lampu nelayan tanpa nombor pendaftaran dengan ia dikendalikan seorang tekong bersama dua kru lelaki warga Indonesia berusia antara 20 hingga 25 tahun.

"Mereka juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pas yang sah. Sementara bagi bot ketiga iaitu sebuah bot nelayan tradisional yang ditahan jam 6.55 petang mendapati terdapat seorang tekong bersama tiga kru lelaki Indonesia berusia lingkungan 15 hingga 51 tahun.

"Kesemua mereka ditahan atas kesalahan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua bot berserta kru ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan jenayah dan mengetahui kes kecemasan di laut diminta menyalurkan maklumat ke talian MERS 999 atau menghubungi pusat operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:48 PM