Operasi rampasan kucing yang dilancarkan oleh Persatuan Sahabat Kucing Jalanan bersama anggota Polis mengambil kucing hampir 20 ekor daripada pemilik bagi tujuan rawatan. FOTO Halim Salleh
Operasi rampasan kucing yang dilancarkan oleh Persatuan Sahabat Kucing Jalanan bersama anggota Polis mengambil kucing hampir 20 ekor daripada pemilik bagi tujuan rawatan. FOTO Halim Salleh
Mohd Hasbi Sidek


“Tolong jangan ambil kucing saya. Saya sangat sayangkan mereka kerana dipelihara sejak ibu saya masih hidup lagi," kata pemilik kucing yang enggan menyerahkan haiwan peliharaannya untuk diselamatkan.

Lelaki terbabit yang hanya dikenali sebagai Nazri, tinggal di rumah flat di Sentul sendirian sejak ibunya meninggal dunia April lalu, namun keadaan rumahnya tidak tersusun selain dipenuhi dengan pelbagai barang menyebabkan 46 kucingnya dijangkiti kuman Sporo.

Nazri yang pada mulanya berdegil tidak mahu membenarkan Persatuan Sahabat Kucing Jalanan mengambil kucing miliknya berkata, dia terpaksa meminta sumbangan daripada orang ramai melalui Facebook (FB) kerana tidak mampu membeli makanan kucing.

"Apabila saya meminta sumbangan di FB, mereka mengutuk saya dan menganggap saya tidak mampu menjaga kucing. Saya sedih dan tidak mahu menerima bantuan lagi.

"Saya juga ada membela seekor arnab dan disebabkan tiada duit mahu membeli makanannya, saya terpaksa mengutip baki sayuran di tapak pasar malam di Sentul untuk memberi makan kepadanya," katanya.

Nazri mendakwa dia mampu menjaga semua kucing berkenaan dan tidak mahu pihak lain menyentuh haiwan itu dan jika mahu merawat mereka, boleh rawat di rumahnya.

"Saya tak akan benarkan kucing saya diambil kerana saya sayangkan mereka. Kalau betul pihak kamu mahu merawatnya, boleh rawat di sini saja," katanya.

Pihak polis dan persatuan terbabit mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk Nazri sebelum dia membenarkan kucing peliharaannya diambil keluar.

Daripada pemerhatian wartawan, rumahnya memang tidak sesuai untuk membela dan melakukan rawatan terhadap kucing yang dijangkiti Sporo dan penyakit lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 5:41 PM