Paya Linda Yahya


Gua Musang: Penduduk Orang Asli di daerah ini menyifatkan peruntukan RM200 juta untuk baik pulih jalan mengakhiri penantian mereka selama lebih 60 tahun bagi menikmati infrastruktur yang lebih selesa.

Ia secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada lebih 6,000 masyarakat Orang Asli di daerah ini.

Timbalan Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Nasir Dollah berkata, pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam disambut baik terutama mereka yang tinggal di pedalaman.

Katanya, pengumuman peruntukan RM200 juta itu memberi harapan kepada masyarakat Orang Asli bagi mendapat akses jalan yang lebih mudah untuk ke bandar bagi pelbagai urusan harian.

"Kami (Orang Asli) kini sudah pandai menjana pendapatan sendiri contoh bercucuk tanam dan membuat hasil kraftangan untuk dijual.

"Jadi dengan adanya kemudahan jalan yang lebih baik maka produk dan hasil pertanian boleh dijual secara terus kepada pembeli.

"Secara tidak langsung juga dapat menyumbang kepada pembangunan pendidikan bagi anak-anak Orang Asli yang tinggal di pedalaman kerana ibu bapa tidak perlu risau lagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah," katanya.

Beliau berharap hasrat kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dan memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli di daerah ini.

"Satu penantian berlangsung lebih 60 tahun dan berakhir semalam. Jadi penantian selama ini penantian yang tidak sia-sia. Saya harap komitmen ini dapat dilaksanakan dengan lebih konsisten dan tersusun," katanya.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan RM200 juta untuk membaik pulih jalan di perkampungan Orang Asli di Gua Musang.

Ahmad Zahid dipetik berkata peruntukan itu membabitkan Jalan Kuala Betis, Pos Balar dan Pos Bihai, sekali gus menunjukkan kepekaan Kerajaan Perpaduan dalam membantu golongan Orang Asli di Kelantan.

Keadaan jalan menuju ke Pos Balar yang perlu dibaik pulih untuk keselesaan masyarakat Orang Asli di Pedalaman. FOTO Paya Linda Yahya
Keadaan jalan menuju ke Pos Balar yang perlu dibaik pulih untuk keselesaan masyarakat Orang Asli di Pedalaman. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2023 @ 3:24 PM