ORANG Asli   mula membuat sekatan bagi menghalang lori balak di Pos Bihai.
ORANG Asli mula membuat sekatan bagi menghalang lori balak di Pos Bihai.

Gua Musang: Masyarakat Orang Asli tidak pernah menutup pintu rundingan dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan tuntutan mereka mewartakan tanah adat walaupun sebelum ini tidak dilayan pihak terbabit.

Sementara menunggu rundingan itu, masyarakat Orang Asli, di sini, meneruskan usaha membina sekatan baru bagi laluan lori balak di tiga lokasi utama di Jalan Pos Bihai, Tohoi dan Pasik.

Wakil penduduk Orang Asli, Andak Along, 31, berkata, sekatan baru siap dipasang semula di kawasan Hutan Simpan Perias, Jalan Pos Bihai, kelmarin.

Katanya, lebih 200 penduduk Orang Asli dikumpulkan dan bermalam di bangsal di situ bagi mengawal semua kenderaan pembalak.

“Kami tidak pernah dipaksa dan sanggup berdepan tindakan undang-undang jika diserbu Jabatan Perhutanan Kelantan.

“Kita baru siap membina satu sekatan dan akan mendirikan dua lagi sekatan di lokasi sama yang diroboh sebelum ini di Kampung Petei dan Jalan Pasik dalam minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2016 @ 5:22 AM