AHMAD Zahid beramah mesra dengan warga MRSM Kota Kinabalu di Dewan Mengaris MRSM Kota Kinabalu. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
AHMAD Zahid beramah mesra dengan warga MRSM Kota Kinabalu di Dewan Mengaris MRSM Kota Kinabalu. FOTO ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Rafiqah Dahali


Papar: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM50 juta membabitkan projek menaik taraf dan membaik pulih Institusi Pendidikan Mara (IPMA) bagi tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan kepada Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan RM17 juta kepada Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM).

"Manakala RM8 juta diperuntukkan kepada Kolej Mara (KM) dan Kolej Profesional Mara (KPM)," katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra selepas sesi lawatan di MRSM Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, IPMA Sabah akan diperuntukkan anggaran sebanyak RM2.347 juta dan RM250,000 untuk MRSM Kota Kinabalu.

Katanya, peruntukan itu bagi membaik pulih perpaipan air bersih, naik taraf sistem pencegahan kebakaran dan penggantian perabot.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan rasa bangga kerana Mara dan MRSM mempunyai standard pendidikan yang baik.

"Imej yang berprestij ini haruslah dipertahankan sebaiknya, termasuk dari segi infrastruktur dan pengisiannya," katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengumumkan MRSM Kota Kinabalu kini dikenali sebagai MRSM Tan Sri Musa Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 11:58 AM