MINI Zanita (tiga dari kiri) menyerahkan tanda penghargaan kepada Pengarah kanan Sektor Latihan Perkaderan Yadim, Kapten (B) Shamsuddin Moner.
MINI Zanita (tiga dari kiri) menyerahkan tanda penghargaan kepada Pengarah kanan Sektor Latihan Perkaderan Yadim, Kapten (B) Shamsuddin Moner.
HM Digital

Kolej Profesional Mara Bandar Melaka (KPMBM) buat julung kalinya diberikan kepercayaan menganjurkan Mahrajan Kesenian Islam antara Institusi Pendidikan Mara (IPMa) 2021.

Program yang diadakan secara dalam talian bermula 14 Mac sehingga 2 April lalu membabitkan kerjasama daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Buruj Watches Sdn Bhd.

Sepanjang program Mahrajan ini juga, terdapat dua kategori pertandingan yang dianjurkan iaitu kategori KPMBM dan kategori Terbuka IPMA.

Bagi kategori KPMBM, ia terbahagi kepada tiga pertandingan iaitu Pertandingan Kesenian

Islam Tulisan Khat, Pertandingan Melukis Komik Dakwah Pendek dan Pertandingan Azan.

Manakala, bagi kategori terbuka IPMA pula, terdapat empat pertandingan yang diadakan iaitu Pertandingan Nasyid, Pertandingan Tazkirah Pendek, Pertandingan Tiktok Islamik dan Pertandingan Khutbah Jumaat.

Pengarah KPMBM, Mini Zanita Zakaria berkata, pelbagai objektif digariskan bagi menjayakan program ini antaranya untuk melahirkan generasi Mukmin Profesional berteraskan al-Quran dan menjana intelektual Muslim yang bakal memimpin negara pada masa hadapan selaras dengan tuntutan al-Quran.

MINI Zanita menyampaikan surat penghargaan kepada Pengarah Kanan Sektor Perkaderan Kepimpinan Yadim disaksikan Pengarah bahagian Kepimpinan Muda Yadim atas kerjasama penganjuran program Mahrajan.
MINI Zanita menyampaikan surat penghargaan kepada Pengarah Kanan Sektor Perkaderan Kepimpinan Yadim disaksikan Pengarah bahagian Kepimpinan Muda Yadim atas kerjasama penganjuran program Mahrajan.

Selain itu juga, program ini diharap dapat membentuk Muslim yang sentiasa bersedia dengan persiapan rohani dan jasmani bagi menyambut kedatangan Ramadan serta menghayati isi pengajaran al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Pihak kolej merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama berganding bahu menjayakan program Mahrajan Kesenian Islam IPMA tahun 2021.

"Kami mengharapkan agar segala objektif yang digariskan dapat dicapai serta program ini dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang dan dijadikan sebagai acara tahunan.

"Tahniah dan syabas juga diucapkan kepada semua pegawai pengiring dan peserta yang berjaya," katanya.

Memeriahkan lagi majlis penutup yang dirasmikan oleh Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Ustaz Nasrudin Hassan, satu ceramah bertajuk Ramadan Yang Dirindui diadakan dan disampaikan oleh Ikon Dakwah Yadim, Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 6:06 AM