Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan sudah menerima laporan polis mengenai seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya yang didakwa diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Ampang Jaya, pada 4 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan dibuka mengikut Kertas Enkuiri Polis (KEP) orang hilang.

"Kita sudah menerima laporan polis yang dibuat berkaitan perkara ini.

"Susulan itu siasatan dibuka mengikut KEP orang hilang," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, kumpulan hak asasi, Human Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Malaysia pada 4 Julai lalu.

Memetik laporan HRW, Thuzar Maung dan suami Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka diculik di rumahnya.

Kejadian itu dilaporkan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi, sambil menambah Thuzar adalah penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 1:54 PM