Wee Ka Siong, bercakap kepada wakil media selepas merasmikan Konvensyen MCA Selangor Tahun 2023 di Wisma MCA, Jln Ampang, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Wee Ka Siong, bercakap kepada wakil media selepas merasmikan Konvensyen MCA Selangor Tahun 2023 di Wisma MCA, Jln Ampang, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: MCA kekal dengan pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, 12 Ogos depan.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan tidak bertanding dalam PRN yang sudah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat MCA itu tidak akan ditarik balik.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira setiap pandangan daripada kepimpinan negeri dan akar umbi serta proses perundingan kerusi.

"Kita membuat keputusan itu selepas melihat beberapa bulan proses rundingan dan melihat kekangan yang telah kita hadapi selain menilai apa yang patut dilakukan daripada bertanding.

"Kita melihat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) untuk kita bertempur dan curahkan keupayaan untuk bertanding.

"Keputusan secara kolektif ini telah saya sampaikan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).

"Keputusan kita itu dihormati oleh kedua-dua pemimpin berkenaan," katanya kepada pemberita selapas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, partinya akan membantu calon BN dalam PRN akan datang termasuk di Negeri Sembilan.

"Kita akan teruskan dan tumpukan kerja-kerja tradisi kita menghulurkan bantuan kepada calon-calon BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN ini.

"Kita tiada masalah (membantu kempen PH) kerana memenangkan PH-BN ini adalah hasrat yang sudah dipersetujui bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 4:52 PM