Dr Zaliha Mustafa
Dr Zaliha Mustafa
Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Semua calon daripada Barisan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) melepasi tahap kesihatan selepas proses saringan dilakukan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, calon BN dan PH yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) disaran menjalani proses saringan kesihatan bagi memastikan layak untuk bertanding.

"Kita bukan sahaja memastikan calon berwibawa untuk membawa harapan seperti ditetapkan parti dan komponen Kerajaan Perpaduan, malah sudut kesihatan turut diberi keutamaan sebelum dicalonkan untuk bertanding.

"Seramai 107 calon BN dan 138 calon PH yang layak bertanding sudah melepasi tahap kesihatan selepas proses saringan dilakukan," katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon yang bertanding untuk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang di Wisma Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.

Pada pengumuman itu, Azan Ismail daripada PKR akan bertembung dengan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim, manakala Mohd Sabri Alwi (BN) akan bertembung dengan calon Pas Zuraida Md Noor di DUN Ladang.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha tidak menolak kemungkinan semua parti termasuk daripada Perikatan Nasional (PN) akan melakukan proses saringan kesihatan semua calon yang disenaraikan untuk bertanding pada PRN.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) jika wujud keperluan untuk melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan berkaitan Covid-19 pada hari pengundian, 12 Ogos depan.

Menurutnya, KKM berpuas hati apabila semua penyokong parti yang mengiringi calon ke pusat penamaan calon mematuhi SOP PRN ditetapkan.

"Kita berharap semua pengguna terutamanya di enam negeri yang mengadakan PRN iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor mematuhi SOP termasuk pada hari mengundi.

"Jika bergejala, pengundi diminta memakai pelitup muka ketika hadir ke pusat pembuangan undi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 3:18 PM