Oleh Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Isu pertindihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah diselesaikan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau bagaimanapun tidak akan mendedahkan dua kerusi berkenaan kerana ia diselesaikan secara dalaman antara BN dan PH.

Katanya, ia bukan soal kerusi itu diserahkan kepada BN atau PH tetapi diselesaikan atas semangat kebersamaan antara parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Ini bukan soal kerusi siapa kerana Parti Amanah Negara (AMANAH) juga memberi kerusi kepada kita malah, PKR dan DAP pun sama. Atas kebersamaan ini, kita ambil kira peluang yang lebih adil untuk parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyaksikan Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini.

Ditanya berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN nanti, Ahmad Zahid berkata, BN akan bertanding di lebih 100 kerusi.

"Pengumuman calon akan dibuat pada 21 Julai ini dan ia akan dilaksanakan secara berpusat," katanya.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata parti itu dijangka akan mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu.

"Ketika ini, ada dua kerusi yang belum selesai dan akan diselesaikan dalam masa terdekat.

"AMANAH tidak banyak kerusi namun, kerusi yang kami tanding akan menang semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 1:17 PM
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini. FOTO BERNAMA