IZHAM Hashim. FOTO Norzamira Che Noh
IZHAM Hashim. FOTO Norzamira Che Noh
Norzamira Che Noh


Klang: Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor, Izham Hashim memberitahu bahawa parti itu akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos ini.

Izham berkata, keputusan itu dibuat di peringkat tertinggi.

"AMANAH sebelum ini ada sembilan kerusi termasuk Jeram dan selepas perbincangan dibuat akhirnya keputusan dipersetujui ialah BN (Barisan Nasional) ambil Jeram dan AMANAH bertanding di Hulu Bernam," katanya.

Sementara itu Izham berkata, pembahagian keseluruhan 56 kerusi di Selangor juga sudah selesai dan majlis pengumuman calon dijangka diadakan 25 atau 26 Julai ini.

Katanya, setiap parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) menyumbang dalam pertambahan kerusi untuk BN.

"Kerusi mana kena tunggu pengumuman. Walaupun kita dah kata muktamad, selagi belum sampai penamaan calon, macam-macam boleh berlaku," katanya.

Izham berkata, isu pembahagian kerusi tidak mengganggu kerjasama dan gerak kerja antara jentera pilihan raya PH dan BN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 4:24 PM