GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Petaling Jaya: Doktor wanita kerugian RM94,001 selepas terpedaya dengan lelaki dipercayai sindiket 'Love Scam' yang dikenali menerusi Facebook (FB).

Pegawai perubatan berusia 31 tahun itu mula mengenali lelaki terbabit sejak Januari lalu yang mendakwa bekerja di luar negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, perkenalan berkenaan berterusan menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

"Sepanjang tempoh perkenalan, mangsa mengesahkan tidak pernah berjumpa dengan individu terbabit. Selepas dua minggu berkenalan suspek meminta mangsa untuk melakukan transaksi atas talian bagi urusan pembelian barang di laman sesawang.

"Mangsa seterusnya memasukkan maklumat yang diberikan oleh suspek iaitu data pengenalan dan kata laluan.

"Mangsa yang menggunakan akaun peribadi melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah USD18,640 (RM79,369) dan USD33,990 (RM144,729) namun akaun dibekukan tanpa sebab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun diaktifkan semula.

"Mangsa mengikut arahan yang diberikan oleh laman sesawang dan melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

"Mangsa diberitahu jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah lagi, mangsa kemudian diarahkan untuk menggunakan aplikasi Huabi bagi tujuan penukaran mata wang asing.

"Wanita terbabit masih mempercayai arahan berkenaan dan melakukan empat transaksi, namun mangsa kemudian diminta untuk melakukan transaksi kepada rakan suspek," katanya.

Menurutnya, mangsa mula sedar ditipu dan tidak melakukan transaksi kepada rakan suspek seperti diminta.

"Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM94,001. Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkenalan di dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 3:29 PM