Hukuman mati mandatori biasanya membabitkan kes jenayah berat.
Hukuman mati mandatori biasanya membabitkan kes jenayah berat.
Mohd Ruzaimy Ridzuan

KEJAYAAN Malaysia menempa nama di persada antarabangsa kadangkala diselusuri dengan onak duri. Sebelum ini, Malaysia terpalit dengan jolokan negara transit bagi aktiviti pengedaran dadah kerana sifat geografi negara berdekatan dengan tiga segi maut sehinggakan rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara terpaksa menjalani pemeriksaan kastam dan imigresen yang begitu ketat. Pada ketika itu, keputusan kerajaan Malaysia melaksanakan Akta Dadah Berbahaya yang mengenakan hukuman gantung sampai mati terhadap pengedar dadah dilihat rasional bagi memulihkan semula imej negara.

Pada ketika itu, beberapa negara maju cuba mengekori bayang-bayang Malaysia untuk turut sama memperkenalkan undang-undang seumpama dengannya. Namun, usaha ke arah memansuhkan undang-undang mati mandatori kepada pesalah menjadi antara agenda utama kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Hukuman mati mandatori biasanya membabitkan kes jenayah berat seperti pengedaran dadah, pembunuhan, senjata api dan sebagainya.

Rakyat Malaysia melihat isu ini sebagai subjektif dan mengikut latar belakang masing-masing. Sudah pasti golongan pejuang hak asasi manusia akan memperjuangkan pemansuhan hukuman mati mandatori, manakala keluarga mangsa bunuh menyifatkan tindakan itu tidak adil. Pengamal undang-undang pula mahu pemansuhan hukuman mati turut terpakai kepada kes yang diputuskan sebelum ini, membabitkan 1,359 banduan yang menunggu untuk digantung sejak 2018.

Ada juga rakyat tidak bersetuju dengan pemansuhan ini kerana bimbang berikutan kes jenayah berat kian menjadi-jadi. Tidak dilupakan juga ada sebilangan masyarakat yang masih tidak faham mengenai maksud sebenar pemansuhan hukuman mati mandatori. Ramai keliru dengan isu ini dan percaya bahawa selepas ini tidak akan ada hukuman mati dikenakan kepada pesalah. Itu tidak benar.

Hakikatnya, kerajaan tidak berhasrat memansuhkan hukuman mati kepada pesalah. Ketika ini, kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori. Perlu difahami konsep 'mandatori' dalam konteks hukuman mati. Setakat ini, hakim atau mahkamah tidak ada pilihan dan perlu menjatuhkan hukuman mati sekiranya seseorang itu bersalah kerana terlibat dengan kes-kes jenayah berat seperti pengedaran dadah, pembunuhan, senjata api dan sebagainya.

Kenapa hakim tiada pilihan? Undang-undang di Malaysia secara objektifnya menetapkan begitu. Undang-undang sebegini mendapat tentangan negara yang kononnya mempertahankan hak asasi manusia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 1983, Malaysia memperkenalkan hukuman mati mandatori kepada sesiapa yang didapati bersalah memiliki sekurang-kurangnya 15 gram dadah jenis heroin. Pertengahan 1980-an, dunia dikejutkan dengan penahanan dua rakyat Australia, iaitu Kevin Barlow dan Brian Chambers yang dikenakan hukuman mati mandatori di Malaysia. Pada ketika itu, media barat lantang menyelar tindakan Malaysia sebagai kejam.

Namun, setelah lebih 3 dekad undang-undang tersebut diperkenalkan, Malaysia berhasrat untuk memansuhkan hukuman mandatori atas alasan setiap orang perlu diberikan peluang kedua. Jadi, isu yang hangat dibincangkan setakat ini adalah berkaitan dengan pemansuhan hukuman mati 'mandatori' dan bukannya pemansuhan hukuman mati. Setakat ini, kerajaan masih belum menetapkan jangka waktu bagi menguatkuasakan pemansuhan hukuman mati mandatori yang dipersetujui.

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan bagi memansuhkan hukuman mati mandatori pada ketika ini hanyalah di peringkat awal dan banyak lagi proses yang perlu dilalui untuk pemansuhan undang-undang itu dapat direalisasikan. Beberapa akta seperti Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api, Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dipinda di Parlimen bagi perlaksanaan dasar baharu itu dapat dilaksanakan.

Katakan keputusan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori itu betul-betul dilaksanakan kelak, maka hakim akan diberikan kuasa pertimbangan untuk menentukan jenis hukuman yang akan dikenakan kepada pesalah, sama ada hukuman mati atau selain daripada hukuman mati. Penilaian yang dibuat itu nanti sudah pasti mengikut kearifan hakim berdasarkan keadaan kes (circumstances of the case) dan tahap keseriusan sesuatu jenayah yang didasari fakta dan bukti kukuh. Apabila hakim mahkamah diberi kuasa pertimbangan, cabaran besar pasti menanti. Penelitian dan pemeriksaan yang rapi dan lebih perlu dijalankan bagi membuktikan 'niat' seseorang itu melakukan jenayah, tahap keseriusan jenayah yang dilakukan dan sebagainya.

Jadi, adakah hukuman mati akan dimansuhkan selepas ini? Jawapannya tidak. Yang bakal dimansuhkan adalah terma 'mandatori' itu. Sekiranya kerajaan ingin memansuhkan hukuman mati mandatori, alternatif hukuman yang bersesuaian dan setara perlu diberikan agar hukuman yang dikenakan kepada pesalah itu betul-betul setimpal dengan jenis dan tahap keseriusan jenayah. Mungkin antara perkara yang kita boleh perhalusi adalah berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam mengikut hukum Qisas, Keistimewaan Qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa supaya dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyat.

Pemansuhan hukuman mati mandatori dibuat untuk memperbaiki kedudukan Malaysia dalam skor hal-hal imigresen dan piawaian hak asasi antarabangsa. Tambahan pula, hukuman mati mandatori selama ini secara amnya tidak berkesan mengurangkan jenayah.

Penulis berpendapat bagi kes kesalahan seperti pembunuhan kejam, hukuman bunuh tetap menjadi pilihan dan keutamaan. Kes menyayat hati seperti kes pembunuhan Along Spoon, pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan Kevin Morais dibuktikan bahawa pembunuh sepatutnya menerima hukuman mandatori yang melebihi daripada mandatori. Sekiranya pembunuh itu mendapat 'peluang kedua' konsep keadilan akan tercemar kerana mangsa bunuh belum pernah sempat merasai nikmat 'peluang kedua'.

Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2022 @ 5:59 AM