PENDUDUK menunjukkan  rumah yang terbengkalai  di projek perumahan PGBF di FELDA Pasoh Dua.
PENDUDUK menunjukkan rumah yang terbengkalai di projek perumahan PGBF di FELDA Pasoh Dua.
Abnor Hamizam Abd Manap


GENERASI kedua FELDA Pasoh Dua berharap organisasi itu menyiapkan segera projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.

Seorang daripada mereka, Azlan Ismail, 39, berkata, banyak masalah timbul selepas rumah yang dipercayai 60 peratus siap ditinggalkan pemaju pembinaan.

Katanya, kebanyakan generasi kedua di tanah rancangan itu tidak tahu masalah yang dihadapi malah FELDA juga tidak pernah memaklumkan sebab terbengkalai.

“Namun yang pasti kami masih menunggu bila projek disiapkan.

“Banyak risiko dihadapi berikutan projek terbengkalai itu menjadi kawasan semak dan tempat menghisap dadah,” katanya.

Azlan berkata, pendawaian elektrik projek rumah itu dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

Peneroka Mahadi Abu Bakar, 59, berkata, kawasan itu membahayakan kanak-kanak.

“Kedudukan berhampiran sekolah menyebabkan ia menjadi lokasi untuk mereka bermain. Sudahlah dipenuhi semak, keadaan sekitar turut dipenuhi barang pembinaan,” katanya.

Pengerusi Majlis Belia FELDA Malaysia tanah rancangan itu, Khuzaifah Ali kecewa apabila projek itu gagal disiapkan sedangkan ia membolehkan generasi sepertinya mempunyai kediaman sendiri.

“Kebanyakan generasi kedua yang berkeluarga masih lagi tinggal bersama ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak FELDA Mohammad Yahya Zakaria berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung perlu memantau keselamatan kawasan projek tinggal.

Katanya, FELDA seharusnya menyiapkan segera PGBF itu bagi mengelakkan berlaku peningkatan kos jika dibiarkan terbengkalai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 6:30 AM