GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) membantu mengawal selia penguatkuasaan harga beras apabila bekalan asas itu berada di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, semua rantaian beras berada di bawah kawalan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Namun katanya dari segi penguatkuasaan, KPDN boleh menerima aduan berhubung harga beras di pasaran dan ianya akan diserahkan kepada kementerian berkaitan.

"Saya telah melihat punca kuasa beras sepenuhnya di bawah KPKM dari 'up stream' dan 'down stream'. Kenyataan rasmi berhubung kenaikkan harga beras adalah dari KPKM kerana semua rantaian beras bawah kementerian itu.

"Namun KPDN akan pastikan apabila beras itu diletakkan di pasaran atau kedai runcit kita akan membantu dari segi kawal selia (harga). Maknanya kalau ada aduan akan serahkan aduan kepada KPKM.

"Tetapi dari segi penguatkuasan, KPDN boleh ambil tanggungjawab dari segi polisi, beras putih tempatan dikawal harganya oleh kerajaan... kita namakan sebagai beras rakyat, dan beras yang mengalami kenaikkan harga itu adalah beras import yang mengikut harga pasaran," katanya.

Semalam, KPKM dalam kenyataan memaklumkan kerajaan menetapkan harga kawalan maksimum jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong berkuat kuasa 16 Jun lalu sebagai tindakan segera memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil serta terkawal.

Kenyataan itu juga memaklumkan semua pemegang Lesen Kilang Padi Komersial dan Lesen Borong Beras dikehendaki mematuhi harga kawalan maksimum selaras surat arahan yang dikeluarkan bertarikh 16 Jun 2023.

Harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan 5% (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram sepertimana yang termaktub di dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 4:28 PM