PROFESOR Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman.
PROFESOR Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman.
Melvin Joni


Kuching: Prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak sepatutnya sudah lama dimuktamadkan.

Penganalisis politik Profesor Datuk Mohd Fadzil Abd Rahman berkata, ia memandangkan PRN-12 Sarawak sudah dijangka lebih awal.

"Apa yang menjadi kerisauan apabila sudah ada pihak atau parti yang memulakan langkah berkempen sejurus selepas pengumuman dibuat.

"Justeru SOP berkenan harus disegerakan," katanya yang dihubungi, hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini memaklumkan Garis Panduan Pencegahan Covid-19 bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak sedang dikemaskini.

Beliau dipetik berkata, ia membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Mengulas mengenai tempoh berkempen selama 12 hari bagi PRN-12 Sarawak, Mohd Fadzil berkata, ia adalah satu jangka masa yang boleh dianggap mencukupi.

Malah, katanya lebih baik jika ia disingkatkan kepada 10 hari sahaja dengan mengambil kira situasi pandemik semasa.

"Apapun tempoh yang ditetapkan itu mungkin mengambil kira kedudukan lokasi geografi di Sarawak," katanya.

Justeru, beliau berkata, tempoh berkempen itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua parti.

Katanya, setiap pihak harus memenuhi hasrat sebenar tujuan berkempen iaitu menyampaikan perancangan dan idea baharu yang bakal dibawa oleh calon bakal bertanding.

"Sebaiknya usah dirosak dan dibazirkan waktu berkempen dengan perkara yang tidak sesuai seperti melontarkan provokasi yang menyentuh soal peribadi atau keburukan parti lawan.

"Itu semua jika tidak dijaga bakal mengundang kekecohan terutama dalam kalangan pengikut parti yang bakal terpengaruh dengan provokasi berkenaan.

"Apabila ini berlaku, sudah pasti aspek SOP dan langkah kawalan perlu sewaktu musim pandemik ini akan terabai dan mengakibatkan suasana menjadi tidak kondusif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 5:58 PM