PENDUDUK kampung, Zamsuri Tambi, 50, memasang bendera GPS pada perahu tambang ketika tinjauan di jeti Kampung Lintang di Kuching. FOTO Bernama
PENDUDUK kampung, Zamsuri Tambi, 50, memasang bendera GPS pada perahu tambang ketika tinjauan di jeti Kampung Lintang di Kuching. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


Miri: Senarai penuh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak hanya akan diumumkan pada 4 Disember depan.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, tarikh itu sesuai kerana dua hari sebelum penamaan calon yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah beliau berkata, pihaknya memang sudah menjangkakan tarikh penting PRN-12 itu pada Disember.

"Kita memang sudah bersedia dan menjangkakan hari pengundian PRN-12 akan diadakan sebelum perayaan Krismas.

"Sehubungan itu, senarai calon GPS akan diumumkan dua hari sebelum hari penamaan calon," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sekolah Sri Mawar, di sini, hari ini.

Mesyuarat khas SPR di Kuching hari ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN-12 pada 6 Disember, pengundian awal pada 14 Disember manakala hari pengundian pada 18 Disember.

Komponen GPS yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menguasai 68 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Ketika ini, PBB memiliki jumlah kerusi terbesar iaitu sebanyak 47, PRS (11), SUPP (7) dan PDP (3).

DAP pula memiliki lima.kerusi, Parti Sarawak Bersatu (PSB) enam kerusi, BERSATU (1) dan BEBAS (1).

Satu lagi kerusi iaitu Pujut kini kosong selepas penyandangnya Dr Ting Tiong Choon dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat pada Februari tahun lalu selepas didapati memiliki dua kerakyatan.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 82 kawasan DUN.

Berita berkaitan:


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:42 PM