BUMBUNG ruang tamu kediaman, Nizam Eson di Taman KSM Segamat yang diterbangkan ribut dalam kejadian petang, semalam. FOTO Ahmad Ismail
BUMBUNG ruang tamu kediaman, Nizam Eson di Taman KSM Segamat yang diterbangkan ribut dalam kejadian petang, semalam. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: "Dalam tempoh lima saat sahaja, semua bumbung di ruang tamu diterbangkan angin," kata Nizam Eson, 37, mengulas mengenai kejadian ribut di rumahnya di Taman KSM, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.15 petang, rumahnya dan jiran mengalami kerosakan selepas dibadai ribut.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di ruang tamu dan sedang berehat bersama keluarga.

"Saya sepatutnya keluar ke kedai membeli barangan keperluan, namun saya tangguhkan seketika hasrat itu selepas melihat cuaca bertukar gelap.

"Tidak lama selepas itu, hujan lebat, petir dan angin kencang menerbangkan bumbung rumah.

"Malah ia berlaku sekelip mata. Mujur saya tidak keluar rumah lagi, sekurang-kurangnya dapat menenangkan keluarga sambil kami berselawat.

"Saya segera memindahkan tiga anak lelaki dan seorang perempuan berusia antara empat hingga 14 tahun serta isteri ke bahagian dapur," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Menurutnya, ia kali pertama mereka mengalami ribut dan bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa mahupun sebarang kecederaan dialami.

"Ribut bermula selepas Asar dan beberapa serpihan asbestos yang tajam turut jatuh di ruang tamu serta hampir mengenai kami sekeluarga.

"Sekurang-kurangnya 20 keping asbestos diterbangkan angin di sekitar taman perumahan selain rabung bumbung turut rosak.

"Syukur ia tidak terlalu serius dan paling penting, tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

"Saya sudah membuat laporan polis namun kerugian sebenar belum diketahui," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, hujan lebat disusuli angin kencang menyebabkan beberapa rumah penduduk mengalami kerosakan termasuk atap tercabut.

Menurutnya, polis sudah menerima laporan dari penduduk yang terkesan akibat kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 3:40 PM