RAKAMAN CCTV menunjukkan penjenayah cuba menyamun di hadapan rumah mangsa namun gagal. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV menunjukkan penjenayah cuba menyamun di hadapan rumah mangsa namun gagal. FOTO ihsan polis
Siti Nor Amirah Abu Bakar


SEORANG daripada lima penjenayah dipercayai melakukan samun di hadapan rumah di Bukit Bayu Tinggi, Ahad lalu ditahan di Klang, hari ini.

Tangkapan dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di rumah di Taman Sentosa, Klang pada 2.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian itu mangsa yang meletakkan kenderaan di luar pagar rumahnya didatangi lima lelaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan bersenjatakan parang dan bertopeng.

Beliau berkata, mangsa sempat melarikan diri dengan memasuki rumah dan terus membuka pintu pagar rumah supaya anjing peliharaan yang berada di dalam rumah mengejar suspek.

"Semua suspek kemudiannya melarikan diri dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan dan kerugian akibat kejadian itu.

"Hasil siasatan polis berjaya membuat tangkapan ke atas suspek berusia 30 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

"Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis Methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman enam hari sehingga 7 Ogos ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba melakukan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2017 @ 10:26 PM