GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Seremban: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika menjaring ikan bersama tiga rakannya di Pantai Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson, dekat sini, semalam.

Ketua Zon 2 Negeri Sembilan Penguasa Kanan Bomba II Jelani Ahad berkata, mangsa yang berusia 30-an beralamat di Parit Raja, Johor itu ditemukan di hadapan Waterfront Pulau Arang, iaitu kira-kira satu kilometer dari pantai terbabit pada jam 8.40 pagi tadi.

"Mangsa dan tiga rakannya ke pantai itu semalam untuk menjaring ikan ketika air laut surut, namun tidak menyedari berlaku kejadian air pasang sehingga menyebabkan mangsa dibawa arus.

"Tiga lagi rakannya sempat menyelamatkan diri ke pesisiran pantai. Mereka cuba menyelamatkan mangsa menggunakan kayu namun gagal berikutan ombak yang terlalu kuat," katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 9.32 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 12:47 PM