YUS Heary (kiri) bersama anggota bomba membuka pusat kawalan operasi bagi mencari Aizat Safuan yang dipercayai lemas di muara Pantai Senok, Bachok, malam ini. FOTO ihsan bomba.
YUS Heary (kiri) bersama anggota bomba membuka pusat kawalan operasi bagi mencari Aizat Safuan yang dipercayai lemas di muara Pantai Senok, Bachok, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Nor Amalina Alias


DUA selamat manakala seorang remaja dikhuatiri lemas akibat dibawa arus ketika menjala ikan di muara Pantai Senok, Bachok, lewat petang hari ini.

Kejadian berlaku apabila Ismail Harun, 45, dan anaknya, Aizat Safuan, 19, serta seorang rakan Aizat, Nazizul Mubin Rosli, 15, pergi menjala ikan di kawasan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.06 malam ini sebelum Ismail dan Nazizul Mubin didapati terselamat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, Aizat Safuan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dijalankan.

“Menurut maklumat awal, ketiga-tiganya pergi ke pantai petang tadi untuk menjala sebelum mereka dibawa arus.

“Kedua-dua mangsa yang selamat kini mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan masih berada dalam keadaan trauma,” katanya ketika dihubungi.

Yus Heary berkata, Ismail dan Aizat beralamat di Pulau Melaka datang ke pantai petang hari ini untuk menjala ikan bersama Nazizul yang berasal dari Kulim, Kedah.

Beliau berkata, beliau mengetuai operasi mencari mangsa bersama lapan anggota dan satu jentera.

Katanya, operasi diteruskan dengan kaedah mencari di dasar sehingga mangsa ditemui.

Difahamkan ketika kejadian, Nazizul berjaya menyelamatkan Ismail sebelum mereka dibantu orang awam manakala Aizat gagal diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 11:11 PM