Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyifatkan spekulasi kononnya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bakal bertanding di Pulau Pinang tidak ubah seperti menyebarkan khabar angin bahawa beliau akan bertanding di Seremban, Negeri Sembilan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berkata, media seharusnya menggunakan kebijaksanaan untuk menilai sesuatu khabar angin sama ada berasas atau tidak sebelum membuat keputusan melaporkannya kepada khalayak.

"Kalau begitu akhbar juga boleh melaporkan khabar angin Chow Kon Yeow bertanding di Seremban, lebih kuranglah.

"Respons saya kalau tulis Chow Kon Yeow dikhabarkan akan bertanding di Seremban, orang akan ketawa apabila baca.

"Kalau langsung tak berasas anggap ia khabar angin sajalah... mengapa nak tulis," katanya ketika ditemui di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan ada desas-desus menyatakan Loke yang juga Menteri Pengangkutan akan bertanding di Pulau Pinang pada PRN akan datang seterusnya bakal menjadi calon Ketua Menteri baharu menggantikan Kon Yeow.

Bagaimanapun, sumber dalaman dan penyokong parti itu menafikan desas-desas itu selain tidak tahu menahu mengenainya.

Kon Yeow turut menegaskan media bertanggungjawab untuk menilai sama ada sesuatu khabar angin perlu dipaparkan dalam berita atau tidak.

"Mereka juga bertanggungjawab untuk menilai sama ada khabar angin seumpama itu perlu diberi sebarang perhatian atau ruang dalam media cetak atau dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 3:49 PM