Keadaan kereta Proton Pesona yang terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Jeti LKIM, Kuantan. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan kereta Proton Pesona yang terjatuh ke dalam Sungai Kuantan dekat Jeti LKIM, Kuantan. - Foto Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


KERETA dipercayai dipandu suspek pengedar dadah terbabas dan menjunam ke dalam Sungai Kuantan, Kuantan, selepas dikejar kira-kira 20 minit oleh dua kereta peronda polis kira-kira 1 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, suspek berusia 41 tahun itu bagaimanapun berjaya meloloskan diri selepas kenderaannya terjunam ke dalam sungai berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, pihaknya menerima maklumat daripada polis daerah Kemaman mengatakan lelaki yang memandu kereta Proton Pesona melarikan diri ketika pemeriksaan sedang dilakukan.

"Sebaik menerima maklumat itu, kami segera mengesan kereta berkenaan dan berjaya ditemui sekitar bandar Kuantan sebelum dua kereta peronda mengejar.

“Kereta itu dipandu hingga ke kawasan jeti LKIM sebelum terbabas dan menjunam ke dalam sungai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya turut meminta bantuan anggota bomba dan penyelamat bagi membawa naik kereta itu sebelum pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan menemui dadah jenis heroin.

"Semua maklumat mengenai suspek sudah kami perolehi dan usaha mengesan lelaki itu sedang dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 4:38 PM