TUJUAN utama TVET adalah untuk menghasilkan tenaga kerja mahir dan kompeten. FOTO arkib NSTP
TUJUAN utama TVET adalah untuk menghasilkan tenaga kerja mahir dan kompeten. FOTO arkib NSTP
Suliati Asri


Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) dibangunkan berdasarkan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) yang memperuntukkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi membangunkan standard pekerjaan di Malaysia.

Ia adalah dokumen yang menggariskan keperluan kompetensi bagi pekerja mahir membabitkan bidang, tahap pekerjaan dan laluan untuk mencapainya.

NOSS menjadi rujukan utama yang sangat penting di Malaysia dalam melaksanakan latihan kemahiran di institut kemahiran dan juga di syarikat.

Seramai lebih 1 juta pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sudah dihasilkan berdasarkan latihan merujuk kepada NOSS.

Bukan itu saja, latihan kemahiran berasaskan NOSS sudah berjaya melahirkan juara dunia di pertandingan World Skills Competition (WSC), ASEAN Skills Competition (ASC) dan World Skills Asia.

Pengarah Bahagian Standard Pekerjaan dan Kurikulum TVET (BSPKTVET) Ts Dr Ghalip Spahat berkata, dokumen NOSS penting kepada majikan dalam menentukan tahap kemahiran, menilai pekerja, menyenaraikan panduan dan skop tugas, serta meningkatkan kualiti, produktiviti, inovasi dan daya saing.

Menurutnya, bagi pekerja pula, latihan dan pembangunan pekerja ialah aktiviti organisasi yang penting kerana pengaruhnya terhadap produktiviti.

"NOSS juga turut dijadikan sebagai rujukan pada peringkat Institusi Latihan Kemahiran (ILK) bagi memastikan kurikulum latihan menepati dan memenuhi kehendak industri.

"Untuk latihan, terdapat dua kaedah pelaksanaannya iaitu menerusi Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan kedua adalah latihan di Institusi Latihan Kemahiran (ILK)," katanya.

Mengulas mengenai kelebihan NOSS berbanding dokumen standard lain, Ts Dr Ghalip berkata, pembangunan standard sudah melalui beberapa fasa evolusi bermula dari 1971 sehingga kini.

Katanya, dahulu NOSS bermula dari Pra-Competency Based Training (Pra-CBT) pada 1971, kemudiannya Developing A Curriculum (DACUM) pada 1992 dan dari 2011 hingga sekarang kita menggunakan kaedah Developing Standard and Curriculum (DESCUM).

"Kaedah DACUM ini diadaptasikan dari Humber College of Applied Science, Toronto, Canada and Ohio State University, Ohio, serta Columbus, Amerika Syarikat yang mana ia dapat menutup jurang yang wujud antara Alam Pekerjaan (Permintaan) dan Alam Latihan (Pengeluaran).

Kemudiannya, kaedah DACUM diubah suai kepada kaedah DESCUM pada 2011 yang juga menggunakan proses percambahan fikiran bersama panel pakar industri dengan bimbingan seorang fasilitator terlatih.

"Kaedah DESCUM menjadikan sesuatu standard yang dibangunkan lebih fleksibel, dinamik dan responsif terhadap keperluan industri sekaligus sesuai dengan perubahan industri iaitu Revolusi Industri dan teknologi semasa seperti Teknologi Hijau," katanya.

NOSS dibangunkan oleh panel dari Industri. Oleh itu, pengukuran pencapaian kompetensi yang ada di dalam NOSS adalah seiring dengan teknologi terkini dalam industri.

Dengan itu, NOSS dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) saling berkaitan kerana tujuan utama TVET adalah untuk menghasilkan tenaga kerja mahir dan kompeten yang mampu melaksanakan tugasan yang diperlukan di alam pekerjaan.

Ini bermaksud lepasan TVET berupaya melaksanakan kerja yang dipertanggungjawabkan tanpa perlu melalui latihan semula atau sekiranya perlu, dengan latihan yang sangat minimum.

Bagaimanapun, kata Ts Dr Ghalip, kaedah itu hanya dapat dicapai sekiranya latihan sedemikian dilaksanakan berasaskan NOSS yang dibangunkan oleh JPK.

"Ini kerana NOSS merangkumi aktiviti-aktiviti yang ada pada pekerjaan terbabit, langkah kerja, kriteria prestasi yang menjadi ukuran pencapaian pekerja, keperluan pengetahuan dan praktikal serta nilai-nilai diri dan pekerjaan seperti sikap, keselamatan dan persekitaran.

"Oleh itu, dengan adanya NOSS sebagai asas kepada TVET di Malaysia, perbezaan kemahiran yang ada pada lepasan TVET dengan keperluan kemahiran di industri dapat dikurangkan atau mungkin dihapuskan terus," katanya.

GHALIP Spahat. FOTO arkib NSTP
GHALIP Spahat. FOTO arkib NSTP

Dengan peredaran masa dan teknologi, NOSS yang dibangunkan JPK ini akan terus relevan sebagai sandaran pelaksanaan latihan berdasarkan kehendak industri terkini.

Ts Dr Ghalip berkata, NOSS akan kekal kompetitif seiring dengan keperluan revolusi industri terkini, teknologi hijau, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta keusahawanan sekaligus membantu negara membangunkan modal insan berkemahiran untuk mencapai status negara maju serta berpendapatan tinggi.

Katanya, untuk kekal relevan JPK sentiasa bersedia dengan perubahan semasa dalam bidang pekerjaan bagi mengurangkan jurang antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.

"Penerapan elemen Revolusi Industri di dalam dokumen NOSS adalah bagi memenuhi keperluan serta kehendak perkembangan industri selain boleh diletakkan sebagai penanda aras dan menjadi pemangkin kepada industri untuk berubah kepada industri yang lebih berteknologi.

"JPK juga sudah membangunkan NOSS seperti Drone, Cybersecurity, Robotic System dan lain-lain bagi menyokong pelaksanaan dasar nasional berkaitan IR4.0," katanya.

Penerapan elemen Teknologi Hijau di dalam dokumen NOSS juga amat penting bagi meningkatkan pendidikan, latihan dan kesedaran pihak industri terhadap teknologi hijau dan menggalakkan penggunaan meluas teknologi itu.

Untuk meningkatkan sahsiah diri, disiplin dan kebolehkerjaan pelatih pula, JPK menerapkan elemen Kebolehan Teras (Core Abilities, CA) dalam Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) sekali gus menjadikan NOSS kekal relevan.

Bagi menampung keperluan kemahiran dan kompetensi yang menjadi pilihan utama majikan pula, kerajaan memperkenalkan Micro Credential dalam sektor pendidikan sekaligus menjadi nilai tambah kepada pekerja untuk kekal relevan dalam kerjaya.

Ts Dr Ghalip berkata, bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi melalui TVET yang dipacu oleh industri dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, JPK sudah bersiap siaga dengan tuntutan baharu tersebut melalui pelaksanaan program Micro Credential menerusi Sistem Latihan Program Bertauliah (SLaPB) di bawah Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM).

"Micro Credential ini dalam konteks JPK adalah kelayakan mikro yang dianugerahkan bagi program latihan yang dilaksanakan secara modular dalam tempoh yang lebih singkat.

"Ia dibangunkan berasaskan kepada Competency Unit (CU) atau Work Activity (WA) atau gabungan CU atau gabungan WA bagi kompetensi spesifik sesuatu NOSS.

"Oleh itu, BSPKTVET bertanggungjawab menyelaras proses pembangunan NOSS bagi memastikan CU atau WA itu sendiri akan memberi manfaat kepada golongan sasar," katanya.

Sehingga Jun 2022, terdapat 2,061 dokumen NOSS yang aktif dan sedia untuk diguna pakai oleh pelbagai pihak termasuk industri.

Justeru, sebagai Pengarah BSPKTVET Ts Dr Ghalip berharap agar usaha untuk memenuhi keperluan industri dengan membangunkan NOSS baharu dan kaji semula NOSS sedia ada untuk kegunaan bersama akan terus diperkasakan.

"NOSS tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi yang sangat pesat. Dengan itu, saya berharap agar boleh memperkenalkan latihan sehingga tahap enam, tujuh dan lapan.

"Saya juga berharap agar NOSS akan menjadi rujukan utama kepada semua pemain TVET di seluruh negara.

"Akhir sekali, saya turut berharap supaya NOSS semua bidang pekerjaan dapat dibangunkan dan pemain Industri pelbagai sektor dapat mempromosikan NOSS," katanya.

Bagi mengetahui secara terperinci berkaitan NOSS aktif, orang ramai boleh merujuk pada Daftar Standard memaparkan senarai NOSS yang sudah diluluskan oleh Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) mengikut bidang dan tahap pekerjaan bagi kegunaan industri dan latihan.

Daftar Standard terkini boleh dimuat turun di laman sesawang http://www.dsd.gov.my. NOSS ini boleh dilanggan dengan hanya RM20 bagi setiap tahap NOSS dan diakses secara dalam talian melalui MySPIKE.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 5:23 PM