Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan MCA dan MIC akan memboikot jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual dilaksanakan bulan depan.

Malah, Pengerusi BN itu menyifatkan pendirian MCA dan MCA untuk tidak bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan, bukan bertujuan melakukan pemboikotan.

Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Umno, berkata kepemimpinan kedua-dua parti berkenaan secara jelas menyatakan komitmen mereka membantu jentera BN, semalam.

"Saya menghormati pendirian kepimpinan MCA dan MIC. Dewan Tertinggi BN akan bermesyuarat untuk mendapatkan pencerahan daripada mereka (MCA dan MIC), Isnin ini.

"Saya tak fikir ia (pendirian MCA dan MIC tidak bertanding pada PRN) bertujuan melakukan pemboikotan dan kita juga akan melakukan koordinasi jentera pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN nanti.

"Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hubungi saya malam tadi, menyatakan komitmen MCA membantu jentera BN di enam negeri. Begitu juga Setiausaha Agung MIC yang menyatakan pendirian sama," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, MCA menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon, memaklumkan parti itu tidak akan bertanding pada PRN di enam negeri bulan depan.

Sebaliknya, parti itu akan menumpukan kepada usaha persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), selain melaksanakan pembaharuan dan kebangkitan semula parti itu.

Selang beberapa jam kemudian, satu lagi komponen BN iaitu MIC turut mengumumkan pendirian sama.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran menerusi kenyataan berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada 30 Jun lalu, selepas meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli CWC.

Sementara itu, Ahmad Zahid menasihatkan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tidak memboikot PRN di enam negeri, selain perlu mengasingkan soal perundangan dengan perkara berkenaan.

Malah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, Najib menerusi anaknya sebelum ini, menyatakan dokongan perlu diberikan kepada Kerajaan Perpaduan.

"Kalau Najib sendiri minta sedemikian, bukan sahaja penyokong beliau tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya perlu menyokong (Kerajaan Perpaduan).

"Tidak ada sebab kalau ada segelintir yang masih berfikir usaha tidak dilakukan untuk membela beliau, bukan hanya dari segi perundangan tetapi daripada aspek sosial lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 1:29 PM