Oleh Amrullah Abd Karim

Bukit Beruntung: Sebuah kedai serbaneka di Jalan Orkid D/2, Bukit Sentosa di sini, disamun dua penjenayah 8.16 malam tadi.

Suspek dipercayai pasangan kekasih melakukan samun bersenjatakan parang dan membawa RM160 tunai dan 50 kotak rokok.

Pengurus kedai serbaneka itu yang hanya mahu dikenali sebagai Hasrina, 33, berkata ketika kejadian terdapat dua pekerja dan seorang pelanggan wanita berusia lingkungan awal 40-an membeli kad tambah nilai telefon.

"Pada mulanya wanita memakai topi keledar bertanya kad tambah nilai RM10 dan ketika itu pekerja nampak wanita terbabit menaip sesuatu pada telefon bimbitnya.

"Tidak lama selepas itu, rakannya seorang lelaki memakai topi keledar masuk dan terus menghunus parang meminta duit," katanya ketika ditemui di Balai Polis Bukit Sentosa, di sini.

Menurutnya, lelaki terbabit mengancam pekerjanya dengan parang dan turut menolak pelanggan wanita yang membeli kad tambah nilai ke belakang.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, polis sudah mengenalpasti kedua-dua suspek namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Kita sudah kenalpasti suspek dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat.

"Suspek dirakam menerusi CCTV namun kita akan meneliti rakaman itu melalui bantuan forensik," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 4:43 PM