- Foto hiasan
- Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang didakwa memfitnah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee.

Dalam prosiding itu, Rewcastle-Brown, 64, tidak hadir ke mahkamah.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes berkenaan.

Rewcastle-Brown berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah sebelum ini memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu.

Kenyataan itu juga mengatakan baginda menggunakan status untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021.

Bagaimanapun, Rewcastle-Brown membuat pemohonan untuk memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, K Muniandy pada Rabu lalu menolak permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes berkenaan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Muniandy memerintahkan supaya kes itu kekal dibicarakan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan kes itu sepatutnya diteruskan ke perbicaraan tanpa sebarang halangan lagi memandangkan tarikh pertuduhan sudah lama iaitu pada 23 September 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 12:45 PM