GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown untuk membatalkan pertuduhan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah melalui buku "The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose".

Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 September 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown berkata, AGC menolak representasi itu menerusi surat yang diserahkan kepada pihaknya melalui emel pada 25 Januari lalu.

"Pihak kami akan mengemukakan representasi baharu kepada AGC dalam tempoh terdekat," kata Guok ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas hari ini.

Guok berkata, pada pengurusan kes hari ini, mahkamah menetapkan 10 Mac untuk pengurusan kes selanjutnya di hadapan hakim baharu K. Muniandy menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman ketika dihubungi mengesahkan mengenai representasi berkenaan.

Mengenai perbicaraan kes itu yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bulan lalu, Noor Haslinda berkata, setakat ini prosiding terbabit ditangguhkan sementara menunggu permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Tinggi di sini didengar dan diputuskan.

Rewcastle-Brown memfailkan representasi itu pada 13 Disember tahun lalu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober tahun lalu yang menolak saman fitnah difailkan Sultanah Nur Zahirah terhadap wanita itu berhubung dakwaan fitnah membabitkan Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku berkenaan.

Dalam permohonan itu, Rewcastle-Brown berkata Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perenggan dalam buku berkenaan adalah tidak berunsur fitnah, oleh itu pihak pendakwaan akan menghadapi kesukaran untuk membuktikan kes di atas beban pembuktian melampaui keraguan munasabah di dalam kes jenayah tersebut.

Pada 31 Oktober 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan, menolak saman fitnah tersebut atas alasan tiada tuduhan fitnah daripada kenyataan itu walaupun jelas terdapat masalah kesilapan identiti dan memerintahkan kos sebanyak RM80,000 dibayar kepada Rewcastle-Brown, penerbit Cheong Ton Sin dan pencetak, Vinlin Press Sdn Bhd, selaku defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 2:08 PM