GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Melvin Joni

Kuching: Seorang lelaki warganegara China diberkas polis selepas disyaki menjalankan kegiatan penipuan membaiki barang kemas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, tindakan diambil susulan laporan dibuat seorang wanita berusia 77 tahun di Kota Samarahan.

Menurutnya, mangsa memaklumkan bahawa suspek muncul di hadapan rumahnya di Kampung Asajaya Laut di sini, pada 18 Jun lalu.

Katanya, mangsa kemudian menyerahkan seutas gelang tangan emas kepada suspek untuk dibaiki selepas suspek mendakwa memiliki kemahiran berkenaan.

"Suspek kemudian memberitahu mangsa bahawa gelang tangan itu perlu dicuci dahulu sebelum dibaiki.

"Selepas selesai membaiki dengan upah RM2, suspek menyerahkan semula gelang tangan itu kepada mangsa tetapi ia dalam keadaan rosak dan tidak nampak seperti asalnya," katanya tadi.

Ekoran itu, Mohd Azman berkata mangsa mengesyaki dirinya ditipu suspek.

"Keesokan hari, anak mangsa berjaya mengesan warga China terbabit yang sedang berada di Kampung Rebak, Asajaya.

"Selepas menahan suspek, anak mangsa terus membawanya ke Balai Polis Asajaya. Suspek kemudian ditangkap dan ditahan dalam lokap untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 4:09 PM