Alias Abd Rani


Muar: "Saya harap, kamu balik nanti (selesai jalani hukuman), jadilah orang baru. Sepatutnya kamu menjaga anak tiri kerana ia satu amanah," kata Hakim Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun serta enam sebatan terhadap pemotong rumput di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.

Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 38 tahun mengaku bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan itu terhadap anak tirinya berusia 12 tahun, awal bulan ini.

Tertuduh yang berhadapan dua pertuduhan pindaan sebelum itu merayu supaya mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menanggung keluarga serta anak masih kecil.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kluang-Batu Pahat dekat sini pada jam 12 tengah hari, 3 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang dibawa bersama Seksyen 16.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh sekali lagi mengulangi perkara sama pada jam 4 pagi, 11 Jun lalu, dengan semua kejadian berlaku di rumah sama.

Mengikut Seksyen 14 (a), tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan manakala Seksyen 16 yang juga tambahan hukuman, dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun serta sebatan tidak kurang dua kali.

Abu Bakar kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama manakala, lima tahun penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Selain itu, mahkamah juga mengenakan hukuman tambahan bagi kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 16 iaitu masing-masing dua tahun penjara dan dua sebatan.

Semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan iaitu 13 Jun lalu, kecuali hukuman Seksyen 16 dijalankan secara berasingan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman dan Muhammad Hidayat Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 4:30 PM