DR Zaliha Mustafa. FOTO arkib NSTP
DR Zaliha Mustafa. FOTO arkib NSTP
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Hasil perbincangan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung isu milikan tanah yang dicadangkan bagi pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2, dijangka diketahui dua atau tiga bulan lagi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, setakat ini perbincangan antara dua kementerian itu berjalan lancar dan Mindef turut melihat kepentingan kesihatan yang perlu diutamakan.

"Mindef sudah pun mengambil maklum tentang kepentingan kesihatan dan mereka juga melihat pada kesesuaian tanah itu untuk pembangunan hospital.

"Kita akan teruskan perbincangan, mungkin kita akan lihat dalam dua tiga bulan lagi dan jika selesai (perbincangan), kita tidak ada masalah (untuk bina HSA 2)," katanya ketika Majlis Penyerahan Projek Bangunan Baharu Makmal Patologi, HSA; Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur, Segamat di HSA di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Terdahulu, Dr Zaliha sempat mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi membincangkan isu-isu kesihatan di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 12:44 PM