Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan meluluskan peruntukan RM500 juta untuk menaik taraf Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, termasuk pembinaan blok baharu dan parkir bertingkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pelaksanaan projek fasa pertama menaik taraf HSA itu dilaksanakan tahun ini.

Katanya, proses tender kerja naik taraf HSA itu juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membolehkan ia disiapkan segera.

Menurutnya, selepas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bangkitkan isu kesesakan HSA dalam Kabinet beberapa bulan lalu, Kementerian Kewangan mula ambil beberapa langkah segera.

"Ia termasuk meluluskan pembinaan parkir bertingkat dengan kerajaan Johor telah ambil langkah segera untuk memudahkan orang ramai dengan bantuan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

"Bagi fasa pertama (naik taraf) hospital ini sahaja memerlukan setengah bilion ringgit. Saya mahu projek ini disegerakan.

"Oleh demikian, untuk projek setengah bilion ini memang sudah diluluskan untuk fasa pertama supaya ia dilaksanakan dalam kadar segera, Saya minta ia dijalankan tahun ini juga," katanya kepada pemberita selepas meninjau kemudahan di HSA, hari ini.

Hadir sama, Dr Zaliha; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Anwar berkata, lawatan HSA itu dibuat selepas menerima laporan daripada Menteri Kesihatan tentang kesesakan di hospital ini berlaku sejak puluhan tahun lalu.

ANWAR menerima penerangan ketika Lawatan Kerja di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANWAR menerima penerangan ketika Lawatan Kerja di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Sebelum ini, Onn Hafiz kerap kali meninjau kesesakan kritikal di HSA selain membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf kemudahan di situ.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, projek pembangunan parkir bertingkat itu juga tidak harus mengganggu perancangan pembina beberapa blok baharu HSA.

"Mengikut Pengarah HSA (Dr Sal Atan) keluasan HSA hampir 100 ekar (40.46 hektar), jika kita guna pelan asal keluasan tanah ini sudah mencukupi.

"Oleh demikian, rencana sekarang adalah untuk membangunkan beberapa kompleks bangunan tingkat tinggi supaya dapat memenuhi keperluan pesakit.

"Saya lihat kesesakan (di HSA) tidak dapat ditampung lagi. Oleh itu, proses tender akan dilakukan secara 'fast track' dan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya.

Ditanya mengenai rancangan pembinaan HSA 2 pula, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan akan mendahulukan projek mendesak dahulu.

"Untuk yang lain (HSA2) kita (akan masukkan) dalam Rancangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan berikutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 3:11 PM