Siti Aminah Mohd Yusof


Butterworth: Johan enam kali tilawah al-Quran Sarawak, Hadi Mohd Sharkawi, 31, membuktikan mereka yang berusaha mendalami ilmu al-Quran turut boleh berjaya dalam apa jua bidang diceburi sekali gus menyeimbangkan tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik yang pernah berkhidmat dengan Sarawak Energy Berhad dan Petronas Carigali Sdn Bhd itu tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal dalam bidang al-Quran, namun amat meminati bidang taranum sejak berusia lapan tahun.

"Pada peringkat awal saya mengaji dengan nenek dan kemudiannya berpeluang berguru dengan qari kebangsaan, Allahyarham Ustaz Luqman Isa yang berasal dari Kelantan tetapi menetap di Sarawak. Selepas itu saya belajar dengan naib johan tilawah kebangsaan Allahyarham Hashim Bolhi dan Ustaz Ahyan Abdul Wadud, qari dari Indonesia yang mengajar al-Quran di Sarawak.

"Saya kini berguru dengan qari terkenal negara, Datuk Ismawi Duet yang sudi meluangkan masa bertemu saya beberapa kali sebulan selain belajar dengan qari kebangsaan, Ustaz Awangku Omar Asfuaddin," katanya ketika ditemui Harian Metro selepas memperdengarkan bacaan surah Toha pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan 2023 di sini, malam tadi.

Hadi kini bergelar pengarah urusan kepada sebuah syarikat berasaskan perkhidmatan berkaitan elektrik dan penyelenggaraan pendingin udara selain aktif mengajar ilmu taranum secara dalam talian dan turut mempunyai pelajar dari Semenanjung, Singapura dan Brunei.

HADI ketika ditemui pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth. FOTO Danial Saad
HADI ketika ditemui pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth. FOTO Danial Saad

Selain itu, beliau turut mengajar taranum di Masjid Darulhana Patingan di Kuching, Sarawak pada setiap Selasa, Khamis dan Jumaat dengan anak muridnya terdiri daripada individu berusia 15 tahun hingga 70 tahun.

"Janji ada gigi selain minat serta kesungguhan untuk belajar insya-Allah boleh mengaji dengan betul dan fasih saya teringat pesanan seorang nenek di Kampung Igan, Mukah...nasihatnya selagi ada gigi, selagi mata boleh melihat mengajilah hari-hari.

"Nenek itu matanya rabun teruk dan hampir buta tetapi banyak menghafal surah-surah pilihan dalam al-Quran," katanya yang menyertai pertandingan tilawah peringkat kebangsaan sebanyak enam kali selepas dinobat johan peringkat negeri pada 2013, 2014, 2016, 2019, 2020 dan 2023.

Antara kenangan manis yang sukar dilupakan ialah Hadi pernah mengalunkan bacaan al-Quran di hadapan Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn sempena sambutan Maulidur Rasul 2019 di negara itu dan turut berkongsi pentas bersama qari terkemuka Mesir, Sheikh Dr Ahmad Nuaina.

Bekas atlet catur Sarawak yang kini jurulatih catur di beberapa sekolah itu berkata, tiada istilah terlambat untuk seseorang belajar membaca al-Quran secara bertaranum dan menyifatkan ilmu berkaitan kalamullah itu begitu luas untuk diselami.

"Masa saya berlatih tidak menentu asal saja ada masa terluang sambil memandu atau menunggang motosikal saya akan bertaranum selain itu saya juga mengajar secara live (langsung) di platform TikTok @qarikampung.

"Sebenarnya, bila kita rapat dengan al-Quran apa jua bidang yang kita ceburi yang kita letak hati kita untuk mendalaminya insya-Allah dikurniakan kemudahan untuk kita belajar, memahami sesuatu ilmu seterusnya cemerlang dalam bidang berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 10:24 AM