Muhammad Qayyim (dua dari kiri) dan Nor Hidayah (dua dari kanan) diapit Ahmad Ikmal (kiri) dan Dian Karisma pada Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah  Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena. FOTO DANIAL SAAD
Muhammad Qayyim (dua dari kiri) dan Nor Hidayah (dua dari kanan) diapit Ahmad Ikmal (kiri) dan Dian Karisma pada Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1444H/2023M masing-masing tidak menyangka nama mereka diumumkan sebagai pemenang apatah lagi persaingan sengit yang diberikan semua peserta dalam pertandingan kali ini.

Muhammad Qayyim Nizar Sarimi, 25 yang memenangi kategori qari dan Nor Hidayah Abd Rahman, 32 yang mengungguli kategori qariah menyifatkan kesemua yang menyertai pertandingan tilawah al-Quran begitu hebat hingga sukar untuk menentukan juaranya.

Bagaimanapun Muhammad Qayyim yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang mewakili Kelantan dan Nor Hidayah yang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Tadbir dari Terengganu bersyukur atas kemenangan yang diraih mereka.

Nor Hidayah berkata, dia juga turut tidak menyangka muncul sebagai juara qariah buat pertama kali selepas tujuh tahun berturut-turut menyertai pertandingan itu.

"Saya sudah mewakili Terengganu sebanyak tujuh kali dan ini kali pertama saya diumumkan sebagai juara yang ia hadiah amat bermakna buat saya.

"Tambahan pula, peserta kali ini bukan biasa-biasa kerana pemarkahan yang diperoleh sangat sengit tetapi rezeki berpihak kepada saya," katanya yang memiliki dua cahaya mata lelaki berusia satu dan empat tahun.

Dia ditemui selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah program berkenaan di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA), di sini, malam tadi.

Majlis penutupan disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sementara, Muhammad Qayyim berkata, dia hanya mensasarkan untuk menduduki tempat ketiga kerana merasakan bacaannya tidak sehebat qari lain.

"Banyak qari yang hebat dalam pertandingan kali ini hingga sukar nak tentukan siapa pemenang. Saya pula hanya mensasarkan tempat ketiga tetapi siapa sangka rezeki saya untuk bergelar juara.

"Saya dalam terbabit dalam tilawah al-Quran sejak berusia sembilan tahun lagi dan banyak yang perlu saya pelajari untuk memperbetulkan bacaan.

"Untuk persediaan ke peringkat antarabangsa, saya akan membuat latihan yang lebih baik," kata anak sulung dari enam beradik itu.

Terdahulu, Muhammad Qayyim yang menuntut di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz membaca al-Quran dalam versi tulisan Braille.

Bagi pertandingan hafazan, peserta dari Johor, Ahmad Ikmal Mohd Ridhuan, 21 yang memenangi kategori 1 hingga 30 juzuk berserta tafsir dan peserta Sabah, Dian Karisma Mohd Japar, 18 turut tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran (MTHQK) yang melabuhkan tirai malam tadi sebelum ini dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara itu berlangsung selama enam hari dengan penyertaan 108 peserta tilawah dan hafazan mewakili 14 negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 10:06 AM