DR ANUAR (kanan) beramah mesra bersama keluarga di majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perak, semalam. FOTO L Manimaran.
DR ANUAR (kanan) beramah mesra bersama keluarga di majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Negeri Perak, semalam. FOTO L Manimaran.
Balqis Jazimah Zahari


MENGAMALKAN latihan taranum (bacaan al-Quran berlagu) secara berterusan dan tidak hanya ketika menyertai pertandingan menjadi kunci kejayaan Dr Anuar Hasin, 34, dinobatkan sebagai johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Perak buat kali keenam, semalam.

Bekas johan qari kebangsaan 2013 itu muncul johan qari bagi program tilawah al-Quran peringkat negeri bagi 2009, 2010, 2011, 2013, 2017 dan paling terbaru, semalam.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu pernah mendapat tempat ketiga ketika menyertai ujian Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2013.

Anuar berkata, dia mempelajari ilmu taranum secara berterusan dan kerap mendapat bimbingan daripada gurunya Ustaz Che Yahya Daud yang turut menjadi pakar rujuk utamanya dalam bidang itu.

“Saya mempelajari ilmu taranum melalui tiga fasa iaitu bermula daripada fasa pengenalan di sekolah rendah, fasa pertengahan di sekolah menengah dan fasa ketiga ketika di hujung pengajian peringkat menengah.

“Saya mengenali Ustaz Che Yahaya yang juga johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999 dan sejak itu dia terus menjadi guru pembimbing di peringkat profesional.

“Beliau menjadi pembimbing utama dan mengajar saya supaya sentiasa konsisten dengan mengekalkan latihan berterusan dan tidak hanya berlatih taranum ketika hendak memasuki pertandingan sahaja,” katanya.

Anuar berkata, dia akan berlatih bacaan taranum tiga atau empat kali seminggu dan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam selepas solat Subuh sama ada melalui bacaan sendiri atau dilatih guru pembimbing.

Katanya, dia juga tidak terlalu mengamalkan pantang larang dalam pemakanan dan makan seperti biasa.

"Cuma menjelang hari pertandingan, saya kurangkan minum ais dan memperbanyakkan meminum madu serta mengamalkan pemakanan sunnah,” katanya.

Anuar yang baru menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Taranum al-Quran di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini berkata, dia menyertai pertandingan dalam negara, turut menjadi qari jemputan dan bertanding dalam beberapa pertandingan di luar negara antaranya di Iran, Afrika Selatan, Thailand dan Indonesia bagi menimba pengalaman.

“Kejayaan dikecapi kini adalah rezeki daripada Allah dan saya sentiasa mengekalkan prestasi dengan memperbanyakkan latihan dan sentiasa belajar daripada kesilapan lalu.

“Saya mempunyai matlamat untuk menang dan menjadi johan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan sentiasa berusaha meningkatkan ilmu serta tidak berputus asa untuk terus bertanding sehingga ke hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berharap pertandingan tilawah al-Quran yang diadakan di negara ini akan dapat diperluaskan lagi dalam pelbagai saluran media bagi menarik lebih ramai anak muda mendekatkan diri dengan al-Quran walaupun hanya menjadi pendengar.

Katanya, sepanjang penganjuran program tilawah, liputan program itu masih terhad dan tidak salah sekiranya pihak penganjur menggunakan platform media sosial seperti FB Live, Instagram dan Twitter serta pelbagai media lain yang cukup popular ketika ini dalam menyebar luas penganjurannya supaya ia dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 9:26 PM