ANGGOTA bomba dan Skuad Penyelamat DBKL menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik di Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul, yang terbakar pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA & DBKL
ANGGOTA bomba dan Skuad Penyelamat DBKL menjalankan pemeriksaan di sebuah bilik di Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul, yang terbakar pagi tadi. FOTO ihsan BOMBA & DBKL
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua lelaki melecur manakala dua lagi selamat apabila rumah dihuni mereka di Perumahan Awam Sri Terengganu, Jalan Sentul di sini, terbakar hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian pada jam 11.30 pagi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Othman Abu Bakar berkata, sebuah jentera dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi.

"Kebakaran membabitkan sebuah bilik yang terletak di tingkat dua perumahan berkenaan yang sudah terbakar 80 peratus.

"Dalam kejadian itu, dua penghuni lelaki melecur. Mangsa pertama melecur lima peratus di bahagian kaki manakala mangsa kedua melecur lima peratus di bahagian badan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak dan dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.55 pagi," katanya.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan di Facebook rasmi berkata, Skuad Penyelamat DBKL turut berada di lokasi membantu mangsa kebakaran.

Katanya, mangsa yang selamat ditempatkan sementara di Dewan Persatuan Penduduk perumahan itu berhampiran untuk tindakan lanjut.

DBKL akan menyediakan sebuah unit transit kepada mangsa sebagai penempatan sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 4:08 PM