ANGGOTA bomba memecahkan pintu untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memecahkan pintu untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap. FOTO ihsan bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Seorang lelaki melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Aman, di sini, hari ini.

Mangsa berusia 50-an melecur pada lengan, kepala dan belakang badan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.59 petang.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, anggota bertugas mendapati rumah teres dua tingkat terbakar sebanyak 25 peratus.

"Kebakaran dipercayai berlaku di tingkat bawah dan terdapat seorang mangsa di dalamnya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, semasa kejadian lelaki itu naik ke tingkat atas untuk mencari kunci pintu jeriji besi bagi menyelamatkan diri.

"Mangsa yang melecur kira-kira 30 peratus kemudian dibawa keluar dan diserahkan kepada pasukan perubatan.

"Kebakaran berjaya dikawal jam 6.18 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 8:37 PM