Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bercadang membina rumah pam khas bagi mengatasi masalah pengairan sawah padi di jajahan Pasir Puteh dan Bachok setiap kali musim kemarau.

Pengerusinya Muhammad Husain berkata, perkara itu sudah dikemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan kini dalam proses mengenal pasti lokasi bersesuaian termasuk pengambilan tanah.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk memberi fokus kepada masalah pengairan yang berlaku di jajahan Pasir Puteh dan Bachok supaya tidak perlu bergantung kepada Rumah Pam Kemubu.

"Anggaran kos bagi membina dua rumah pam masing-masing di Pasir Puteh dan Bachok berjumlah kira-kira RM40 juta di mana satu rumah pam dianggarkan bernilai antara RM15 juta hingga RM20 juta.

"Kita berharap pembinaan rumah pam ini dapat menyelesaikan masalah pengairan membabitkan 3,000 pesawah dan petani dengan keluasan sawah padi kira-kira 6,000 hektar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melaporkan diri di Ibu Pejabat Kada, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya mengenal pasti punca yang menjadi masalah kepada gangguan bekalan air di sawah padi disebabkan penyusutan paras air sungai.

Pengerusi KADA Muhammad Husain (kanan) sebelum mendengar taklimat sempena majlis sesi clock-in Pengerusi KADA di Ibu Pejabat KADA hari ini di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi KADA Muhammad Husain (kanan) sebelum mendengar taklimat sempena majlis sesi clock-in Pengerusi KADA di Ibu Pejabat KADA hari ini di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 12:45 PM