BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menjawab persoalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia baru-baru ini, di Parlimen esok.

Anwar berkata, persoalan Muhyiddin itu akan dijawab dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri.

"Saya akan jawab di Parlimen dan biar dia (Muhyiddin) ada di situ untuk hujah. Saya harap dia hadir," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di sini, hari ini.

Muhyiddin mendakwa Perdana Menteri menandatangani perjanjian itu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini, walaupun pakar maritim menasihati supaya tidak berbuat demikian.

Sehubungan itu, Muhyiddin dilaporkan menggesa Perdana Menteri untuk memberi penjelasan berhubung perjanjian persempadanan maritim itu.

Mengenai pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRN) di enam negeri, Anwar berkata, perbincangan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah di peringkat akhir.

Enam negeri yang terbabit dalam PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

ANWAR Ibrahim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANWAR Ibrahim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 3:31 PM