ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
ANWAR, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perkembangan ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lama dan faktor geopolitik.

"Usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuh daya saing Malaysia.

"Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 6 Tahun 2023, di sini, hari ini.

Anwar berkata Bank Negara Malaysia (BNM) komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 8:54 PM