BERNAMA

Putrajaya: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan mesyuarat khas lebih dua jam bersama Jemaah Menteri di Perdana Putra di sini, hari ini, susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam yang menyatakan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Muhyiddin yang tiba di Perdana Putra pada 9.20 pagi bagi memulakan tugas hariannya, mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan pada 11.30 pagi dan berakhir 2 petang.

Sebaik mesyuarat khas itu berakhir, anggota Kabinet Barisan Nasional (BN) menuju ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bagi menghadiri pertemuan BN.

"Nak pergilah ni, dengarnya dah mula," kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang baru-baru ini dilantik sebagai Bendahari BN.

Usaha pengamal media untuk mendapatkan butiran mengenai mesyuarat itu daripada menteri yang hadir tidak berjaya.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hanya menurunkan tingkap keretanya dan melambai kepada media tanpa memberi sebarang ulasan tentang inti pati mesyuarat itu.

Selain menteri Kabinet, turut menghadiri mesyuarat khas itu ialah Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein keluar dari Bangunan Perdana Putra selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein keluar dari Bangunan Perdana Putra selepas menghadiri Mesyuarat Khas Jemaah Menteri di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Yang di-Pertuan Agong menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, semalam bertitah tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini dan menyeru rakyat, tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik, mengetepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu serta bersatu hati, memainkan peranan membantu kerajaan dan pihak berkuasa membendung wabak Covid-19 demi keselamatan diri dan kesejahteraan negara.

Muhyiddin dalam satu kenyataan semalam berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum titah Seri Paduka itu dan akan berbincang dengan lebih lanjut berhubung titah itu.

Perdana Menteri turut menjunjung kasih atas kepercayaan Seri Paduka kepada kerajaan pimpinannya serta menyambut baik nasihat supaya kestabilan kerajaan tidak diganggu-gugat.

Muhyiddin menyatakan keutamaan Jemaah Menteri dan kerajaan sekarang adalah untuk melindungi rakyat daripada wabak Covid-19.

Raja-Raja Melayu mengadakan perbincangan khas hampir tiga jam di Istana Negara, semalam bagi meneliti cadangan dikemukakan Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Jumaat lalu.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat khas berkenaan, Muhyiddin dipercayai turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2020 @ 5:08 PM