Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Kami sekeluarga hanya mampu melihat hampir separuh atap rumah dibawa angin susulan ribut yang sangat kuat, selain berdoa semoga tiada yang tercedera," kata Azizah Junoh, 60.

Azizah berkata, kejadian kira-kira 5 petang, semalam bermula dengan hujan biasa sebelum ribut tiba-tiba melanda selama 15 minit, yang menerbangkan atap rumah selain menyebabkan garaj roboh menghempap dua kereta miliknya.

"Ketika kejadian saya baru sahaja bersiap sedia untuk solat Asar, namun dikejutkan dengan suara anak yang memberitahu angin kuat melanda. Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berlaku dengan sangat pantas.

"Bunyi angin yang kuat beserta hujan lebat sangat menakutkan. Bagaimana pun, saya dan suami, Othman Sapiin, 66, bersyukur kerana kami berdua dan empat anak selamat walaupun mengalami kerugian.

"Selain rumah dan garaj, turut musnah adalah dua pokok rambutan serta sepohon pokok manggis yang sedang lebat berbuah turut tumbang susulan ribut berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Bakong, di sini, hari ini.

Azizah berkata, disebabkan buntu tiada tempat untuk berteduh, suami dan anak lelakinya terus membaiki dan memasang semula atap yang tercabut kerana risau terpaksa berhujan di sebelah malam.

AZIZAH menunjukkan atap rumahnya yang musnah dilanda ribut di Kampung Tasek Bakong. FOTO Syaherah Mustafa
AZIZAH menunjukkan atap rumahnya yang musnah dilanda ribut di Kampung Tasek Bakong. FOTO Syaherah Mustafa

Tinjauan ke kampung berkenaan mendapati terdapat juga beberapa kediaman lain yang turut terkesan akibat ribut itu selain terdapat jalan terhalang oleh pokok yang tumbang.

"Akibat kejadian ini juga, penduduk kampung terpaksa 'bergelap' seketika kerana terdapat pokok tumbang menyebabkan wayar elektrik putus sebelum keadaan kembali baik dengn kehadiran pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Saya sekeluarga juga terpaksa membersihkan dan menjemur pakaian yang basah akibat rumah dimasuki hujan selain menggantikan semula atap yang rosak. Nasib baik semua kerja membaik pulih boleh dilakukan sendiri memadangkan suami saya ada kemahiran menukang rumah.

"Semenjak tinggal di sini, ini adalah kejadian ribut yang paling teruk pernah saya lalui sehingga menyebabkan kami sekeluarga ketakutan, tambahan pula rumah saya dikelilinggi pokok-pokok besar yang berkemungkinan boleh menghempap kediaman ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 1:57 PM