AHMAD Zahid menyampaikan ucapan dasar presiden pada PAU 2023. FOTO Bernama
AHMAD Zahid menyampaikan ucapan dasar presiden pada PAU 2023. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Laungan takbir 'Allahuakbar' dan 'Bebaskan Bossku' bergema dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, ketika Presiden Umno mengenang Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat memetik nama bekas Perdana Menteri itu dalam ucapan dasar beliau sebelum memohon hadirin menonton tayangan video pesanan Najib yang disampaikan menerusi anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar.

Dalam petikan video itu, Mohamad Nizar, menafikan dakwaan bapanya marah dengan Kerajaan Perpaduan serta meminta ahli Umno menyerang pimpinan Ahmad Zahid serta menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Ayahanda saya tak pernah mengeluarkan arahan untuk kita serang institusi presiden atau mana-mana komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

"Malah, beliau tuntut supaya kita setia dengan parti Umno dan menghormati institusi Umno yang kini diterajui Zahid Hamidi, itu pesanan beliau.

"Ayahanda tak pernah menyuruh ahli Umno membelakangkan Kerajaan Perpaduan dan menyokong PN. Itu tak benar dan tak pernah berlaku," katanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, hari ini.

Selepas menonton tayangan itu, Mohamad Nizar yang berada dalam dewan berkenaan bangun dan sebak sambil meminta Presiden Umno itu membebaskan bapanya.

Serentak itu dewan berkenaan bergema dengan laungan 'Allahuakbar' dan 'Bebaskan Bossku' daripada ribuan penyokong.

Ahmad Zahid turut kelihatan sebak dan meneguk air untuk menenangkan diri sebelum meneruskan ucapannya.

"PM (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), lihatlah sendiri apa yang dinyatakan itu authentic.

"Kita di sini, beliau (Najib) di sana, saya yakin semangat beliau tetap bersama dalam Dewan Merdeka ini," katanya.

Katanya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan menyatakan pendirian Umno tetap berusaha memberi keadilan kepada Najib.

"Kepada Datin Seri Rosmah Mansor dan keluarga, sabar...mudah-mudahan Allah SWT akan melunaskan segala doa.

"Kita semua bersama beliau dan ahli keluarga," katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyeru ahli Umno menggunakan peluang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk merampas enam negeri serta menyatakan pendirian Najib kekal menyokong Umno dan Kerajaan Perpaduan.

"Bekas pemimpin kita (Najib) yang sekarang ini berada di belakang tabir besi pun mendoakan dan mengharapkan Kerajaan Perpaduan ini merampas semula enam negeri ini.

"Kita berikan semangat walaupun beliau tak ada bersama kita secara fizikal, jiwa, roh dan semangat beliau tetap bersama kita.

"Kita berikan laungan dan semangat untuk beliau. Kita mahukan keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 12:46 PM