MOIDIN (dari kanan), Ali dan Husin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
MOIDIN (dari kanan), Ali dan Husin. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka disaran membentuk gabungan kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pemerhati politik Moidin Hassan, 71 berkata, komponen BN terutama Umno perlu mencari titik persamaan untuk membela rakyat sekaligus memberi manfaat kepada bangsa Melayu dan Islam.

Katanya, secara lojik amat sukar berdepan Pakatan Harapan (PH) jika terdapat pertandingan tiga penjuru yang memecahkan undi sokongan kepada Umno, Bersatu dan PAS.

Menurutnya, perpecahan berlaku lebih parah jika peratus perbezaan pengundi Melayu di beberapa DUN yang sedikit tanpa mengambil kira pengundi atas pagar.

"Pertandingan sesama mereka amat merugikan sehingga keputusan akhirnya berpihak kepada PH.

"Jika persefahaman dibentuk, titik perbezaan dapat dikurangkan selain mampu mengelak isu remeh, longgar serta ketegangan sebelum, semasa dan selepas PRN," katanya.

Menurutnya, semua parti ini harus menerima hakikat mereka sebenarnya tidak lagi kuat jika berdasarkan sejarah semata-mata.

Malah zaman dan pendekatan juga sudah berubah dan mereka perlu menerima hakikat gabungan mampu memperkasakan mereka berbanding jika bergerak sendirian.

"Malah parti BERSATU juga dalam serpihan UMNO. Begitu juga ada dalam kalangan penyokong PAS juga pernah menyokong parti terbesar itu. Justeru kerjasama mampu menjadikan mereka lebih kuat, tambahan walaupun seorang musuh sekalipun pasti membawa bahaya," katanya.

Sementara itu, veteran UMNO, Ali Mohamed, 63, berkata, dia amat yakin BN mampu menguasai semula kerajaan negeri kerana rakyat sudah 'belajar' selepas kekalahan BN pada PRN lalu.

Menurutnya, dia juga melihat Umno dan BN mampu berdiri sendiri tanpa gabungan kerana mereka cukup kuat waktu ini selepas kekalahan pada PRU-14.

Sementara itu Husin Basir, 56, turut yakin kerjasama ketiga-ketiga parti itu mampu mengubah landskap politik dan pentadbiran negeri sekaligus memenangi PRN kali ini.

Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan Pengerusi PN Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen supaya BN dan PN menjalinkan kerjasama politik dalam menghadapi PRN ini.

Bagaimanapun, perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu dengan kepemimpinan tertinggi untuk diperhalusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 3:09 PM