GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang banduan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membawa pisau ketika berada di tempat awam.

Tertuduh, Zawawi Zahid, 51, membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membawa sebilah pisau di hadapan sebuah kedai gunting rambut di daerah ini, 5 petang pada 9 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang ketika ini menjalani hukuman penjara atas kesalahan mencuri kenderaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din manakala tertuduh tidak wakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 6:19 PM