GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ali Iqbal


Muar: Lelaki dipercayai dibunuh beberapa hari lalu sebelum mayatnya ditemui di tempat pembuangan sampah dekat Jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, di sini.

Difahamkan, mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan terlentang serta hanya berseluar dalam oleh pekerja ladang pada 10 pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai penemuan itu.

"Pemeriksaan fizikal terhadap mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah mendapati keadaan mayat telah mereput dengan tiada sebarang identiti mangsa diperoleh.

"Mayat kemudian dihantar ke bahagian forensik hospital sama untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan laporan mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan di kepala akibat objek tumpul, sekali gus menunjukkan terdapat unsur jenayah dalam kes ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sama ada mangsa dibunuh di tempat kejadian ataupun tempat lain sebelum dibuang di situ.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zakini Ab Latif di talian 013-2338184.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:32 AM