POLIS masih melakukan siasatan di lokasi penemuan tulang manusia di ladang kelapa sawit. FOTO Badrul Kamal Zakaria
POLIS masih melakukan siasatan di lokasi penemuan tulang manusia di ladang kelapa sawit. FOTO Badrul Kamal Zakaria
Badrul Kamal Zakaria dan Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS menemui rangka manusia hangus dibakar dalam ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Panchor, Pagoh, hari ini.

Difahamkan, mangsa seorang lelaki bersama rakannya dilaporkan hilang lebih seminggu lalu dari daerah berhampiran.

Mereka dikatakan ditahan sekumpulan lelaki namun seorang daripada mangsa berjaya melarikan diri.

Panik dengan keadaan itu, suspek nekad membunuh mangsa sebelum membakar mayatnya di ladang kelapa sawit berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, identiti mangsa masih belum dapat disahkan.

“Polis menjumpai tulang manusia dipercayai dibakar. Buat masa ini, kita masih belum dapat sahkan identitinya.

“Siasatan masih dijalankan khususnya melalui DNA. Apa-apa kita akan maklum dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak diharap bersabar dan memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan terutama bagi mengesan dan mengesahkan identiti mangsa.

“Peringkat permulaan ini, kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur jenayah dengan membakar mayat itu,” katanya.

Di Muar tinjauan NSTP mendapati pasukan polis termasuk unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor giat menjalankan siasatan bagi mencari tulang mangsa.

NSTP difahamkan kerja pencarian tulang dilakukan kira-kira 6 petang tadi di kawasan berhampiran tempat pembuangan sampah haram selepas polis mendapat petunjuk.

Polis turut menggunakan lampu limpah berikutan keadaan gelap.

Bagaimanapun, usaha pihak media untuk merakamkan gambar di tempat kejadian gagal apabila tidak dibenarkan berada di lokasi, sebaliknya diminta berada sejauh kira-kira 100 meter dari tempat kes.

Kelihatan khemah dipercayai digunakan pasukan forensik untuk menjalankan siasatan dan beberapa kenderaan polis di lokasi.

Difahamkan, polis turut membawa seorang suspek ke lokasi bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 10:19 PM