MAYAT rentung dipercayai mangsa pembunuhan. FOTO Ihsan Polis
MAYAT rentung dipercayai mangsa pembunuhan. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


MAYAT yang ditemui rentung di kawasan bendang di Jalan Gunung, Anak Bukit, Alor Setar, semalam, dipercayai mangsa pembunuhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, siasatan lanjut pakar forensik di lokasi kejadian mendapati ada jerami yang tidak terbakar di bawah badan mangsa.

Menurutnya, jerami di kawasan terbabit dibakar pada 1 Mac lalu dan mayat hanya ditemui semalam.

Katanya, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayatnya dibuang di kawasan terbabit sebelum 1 Mac.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai warga asing berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun.

“Bagaimanapun, kami masih berusaha mengenal pasti identiti sebenar mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro semalam melaporkan mayat ditemui dalam keadaan tertiarap dan terbakar di kawasan bendang di Jalan Gunung, Anak Bukit, Alor Setar.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam 11.40 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 7:59 PM