FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


MEKANIK didenda RM4,400 di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, kerana memaki dan menghalang tugas polis di Balai Polis Nilai, awal bulan ini.

Lee Kok Yew, 28, mengaku bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya secara berasingan di hadapan dua majistret.

Mengikut pertuduhan di hadapan Majistret Mahyun Yusof, dia didakwa dengan niat menghalang tugas Inspektor Shamrul Harun Abdul Halim sebagai penjawat awam di depan Pejabat Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Balai Polis Nilai, pada 7 malam, 12 November lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan di hadapan Majistret V Vanita, duda dua anak itu didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan lucah terhadap Shamrul dan seorang lagi anggota polis di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM500 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohamad Azri dan Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Chrysandy Lai dan R Kanapathy.

Mahyun menjatuhkan hukuman denda RM4,000 manakala Vanita (RM400).

Mengikut fakta kes, tertuduh bertemu seorang anggota polis di balai itu dalam keadaan marah dan menaikkan suara sebelum anggota lain datang membantu. Tertuduh kemudian beredar namun menjerit perkataan kesat dan menunjukkan isyarat jari tangan.

Shamrul kemudian meminta kad pengenalannya, namun tertuduh enggan bekerjasama dan menolak pegawai polis itu sambil memakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 November 2018 @ 3:25 PM