KEADAAN rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Hilir Sesang. FOTO Khalid Latip
KEADAAN rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran di Kampung Hilir Sesang. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip

ENAM sekeluarga berdepan detik cemas sebelum sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran rumah di Kampung Hilir Sesang, Saratok, tengah malam tadi.

Difahamkan, kesemua mangsa berusia antara dua hingga 63 tahun itu sedang tidur, sebelum seorang daripada mereka terjaga sejurus terhidu bau asap, seterusnya mengejutkan anggota keluarga lain untuk menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok, Nazary Mohamat berkata, kebakaran dipercayai bermula dari satu daripada bilik dalam rumah berkenaan, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

“Ketika kejadian, hanya enam daripada tujuh sekeluarga itu berada di rumah, manakala seorang lagi keluar ke kedai berhampiran. Kita dimaklumkan seorang daripada mangsa tidur di ruang tamu, namun terjaga apabila terasa bahang dan terhidu bau asap.

“Mangsa kemudiab bergegas mengejutkan anggota keluarganya yang lain sebelum menyelamatkan diri. Difahamkan, beberapa anggota keluarga cuba memadamkan kebakaran, namun gagal kerana api terlalu marak,” katanya ketika dihubungi di Saratok, hari ini.

Katanya, sebuah jentera bersama anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira 12.29 tengah malam.

“Bagaimanapun, sebaik anggota bomba tiba di lokasi kejadian, keseluruhan rumah mangsa musnah sepenuhnya. Kebakaran turut memusnahkan tiga motosikal yang berada di sekitar rumah berkenaan. Keseluruhan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM50,000.

“Kesemua mangsa bernasib baik kerana terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kita mengambil masa kira-kira 30 minit memadam api dan melakukan pemantauan susulan bagi memastikan tidak berlaku kebakaran berulang. Api membakar dalam waktu singkat kerana struktur rumah yang diperbuat daripada kayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 11:12 AM